fbpx

Pengunjung KUAM bengang kena beli tiket dua kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG sanggup menunggu di bawah terik matahari untuk melihat persembahan udara di KUAM, LTAM, Melaka, hari ini. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Suasana di Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2023 (KUAM 2023) dekat sini bertukar ‘panas’ apabila rata-rata pengunjung berasa tidak berpuas hati terpaksa beratur membeli semula tiket masuk selepas ruang pameran ditutup bagi menghormati waktu solat Jumaat.

Tinjauan Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini mendapati pihak penganjur telah meminta para pengunjung untuk beredar keluar dari tapak pameran pesawat sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi.

Ruang pameran tersebut kemudian telah dibuka semula pada pukul 2 petang, namun pengunjung diarahkan untuk membeli tiket yang baharu sekiranya ingin menonton persembahan disediakan.

Seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Laila, 39, berkata, dia terpaksa beratur panjang pada sebelah pagi untuk mendapatkan tiket masuk program tersebut.

Katanya, petugas di kaunter tiket tidak memaklumkan tiket dibeli adalah untuk sekali kemasukan sahaja, selain tiada jadual program yang diletakkan di kawasan terminal.

“Saya datang dari Kuala Lumpur untuk melihat pertunjukan akrobatik dan pesawat, malangnya tidak sempat lihat semua kerana kami diminta keluar disebabkan ruang pameran hendak ditutup.

“Petugas karnival kemudian beritahu kami perlu beli tiket baharu jika mahu menyaksikan persembahan udara yang berlangsung pada pukul 2.30 petang, namun mengapa saya kena bayar lagi sedangkan pihak penganjur yang meminta kami beredar?,”katanya.

Tambahnya, meskipun tiket itu hanya berharga RM5, namun perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia menyusahkan pengunjung yang turut terdiri daripada golongan warga emas dan kanak-kanak.

Sementara itu, pengunjung dari Batu Pahat, Johor, Muhamad Nur Iqmal Md. Zaini, 27, berkata, dia menyambut baik tindakan pihak penganjur yang menghormati waktu solat Jumaat tetapi pada masa sama mahu tindakan penutupan sementara itu dikaji semula.

“Kalau boleh letakkan kakitangan wanita atau bukan Islam untuk bertugas sementara di kawasan pameran, janganlah ditutup terus kepada pengunjung kerana ada yang datang dari jauh terpaksa menunggu dua jam sebelum pameran bersambung semula,” ujarnya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan karnival itu bakal menghimpunkan 41 jenis pesawat, helikopter dan dron daripada pelbagai agensi, persatuan dan syarikat dari dalam dan luar negara.

Lima negara dijangka terlibat termasuk Singapura, Jerman, Taiwan, Rusia dan Australia. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI