fbpx

Pemuda dipenjara bunuh 23 penghuni Ittifaqiyah kemuka rayuan akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan pusat tahfiz Ittifaqiyah yang terbakar enam tahun lalu.

PUTRAJAYA – Pihak pembelaan yang mewakili pemuda berusia 22 tahun mengemukakan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan di sini berhubung sabitan dan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atas 23 pertuduhan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah.

Perkara itu disahkan peguam Haijan Omar yang mewakili lelaki tersebut selaku perayu itu ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut peguam itu, notis rayuan tersebut telah difailkan pada 21 September lalu.

“Ya rayuan (keputusan Mahkamah Rayuan) difailkan pada 21 September lalu, namun setakat ini tarikh pengurusan kes belum lagi ditetapkan,” katanya.

Pada 11 September lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama perkenan Agong ke atas pemuda itu adalah selamat dan harus dikekalkan.

Keputusan sebulat suara yang dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun berpendapat berdasarkan keterangan mengikut keadaan, pendakwaan berjaya membuktikan pesalah kanak-kanak pertama (PKK1) bertanggungjawab memulakan kebakaran.

Panel-panel itu berpendapat meskipun tiada saksi melihat PKK1 meletakkan tong gas di hadapan pintu asrama di tingkat tiga sekolah itu, mencurahkan petrol di rak kasut dan menyalakan api untuk membakar bangunan, namun ada saksi mengecam penama pertama sebagai orang yang memanjat pagar tahfiz.

Selain itu panel-panel turut menyatakan, mahkamah turut menerima keterangan penemuan pemetik api yang ditunjukkan sendiri oleh penama pertama dalam bilik tidur ketika dia membawa anggota polis ke rumahnya.

Beliau berkata, itu menunjukkan PKK1 tahu pemetik api mana yang ingin digunakan dengan niat untuk memulakan kebakaran.

Tambah panel-panel itu, berdasarkan siasatan pihak forensik bomba, ada kesan daripada bahan petrol dan tong gas yang dihala ke pintu bangunan tahfiz menjadikan punca kebakaran disengajakan.

Panel-panel sama turut menolak rayuan pendakwa raya terhadap seorang lagi pemuda berusia 22 tahun yang merupakan PKK2 atas tuduhan sama.

PKK1 merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya atas pertuduhan membunuh kesemua mangsa manakala pihak pendakwaaan merayu terhadap pembebasan PKK2.

Mengikut pertuduhan, mereka berdua yang berusia 16 tahun ketika kejadian didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, pada pukul 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, 14 September 2017.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Pada 17 Ogos 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah mendapati penama pertama bersalah dan menjatuhi hukuman penjara selama diperkenankan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.

Mahkamah Tinggi mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun boleh menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara pada 28 Januari 2020, mahkamah sama membuat keputusan melepas dan membebaskan penama kedua tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan yang dihadapinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI