KUALA LUMPUR – Sebagai tanda komitmen terhadap inovasi dan pemerkasaan bakat tempatan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan insiatif Pemangkin IP360 Metaverse sebagai satu langkah untuk mengembangkan potensi ekonomi digital negara.
Melalui inisiatif tersebut, kerjaan telah memperuntukkan sebanyak RM12 juta kepada MDEC sebagai insentif untuk memajukan program metaverse dan XR.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, inisiatif tersebut membolehkan Malaysia kekal berada di barisan hadapan dalam sektor inovasi digital.
“Metaverse bukan sahaja akan menawarkan dimensi baharu dalam hiburan dan interaksi sosial, ia juga bakal berfungsi sebagai platform untuk perniagaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelbagai sektor lain.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan infrastruktur, peraturan dan sokongan yang diperlukan untuk memupuk ekosistem metaverse yang bertenaga dan mampan.
“Kami juga membayangkan metaverse yang inklusif, selamat dan pada masa yang sama sesuai dengan nilai dan budaya masyarakat kita,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, hampir 90 peratus pekerja dalam industri digital negara yang telah menghasilkan kandungan terkenal dan berkualiti seperti Upin dan Ipin, Boboiboy, Mechamato, Ejen Ali dan sebagainya terdiri daripada rakyat tempatan.
“Tidak dinafikan, industri ini sangat signifikan untuk ekonomi Malaysia. Sehingga kini, sektor ini telah menjana RM5 billion dan mewujudkan hampir 10,000 pekerjaan berkemahiran tinggi di negara kita.
“Ini sejajar dengan inisiatif Malaysia Digital (MD) dan Program Pemangkin Digital Malaysia (Pemangkin) yang memainkan peranan penting dalam komitmen kami untuk membantu mengembangkan ekonomi negara,” katanya.
MYDCF 2023 yang berlangsung dari 27 September hingga 1 Oktober ini merupakan sebahagian daripada Ekspo Digital Malaysia 2023 (MDX 2023) yang diadakan selama enam minggu berturut-turut untuk meraikan ekonomi digital Malaysia.
Festival tersebut disertai oleh pemain utama daripada industri kandungan digital seperti pencipta permainan, studio animasi, pelukis komik digital dan perintis dalam teknologi seperti VR/XR dan metaverse. – KOSMO! ONLINE