BINTANGOR – Seorang lelaki OKU rentung dan seorang wanita melecur dalam kebakaran yang meranapkan Rumah Michael Marau, Sungai Sejugam, Lasi Julau di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kira-kira pukul 4.26 petang semalam dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor ke lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai terperangkap sebelum dijumpai rentung di bilik nombor 33 pada pukul 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata kebakaran turut menyebabkan 36 pintu rumah panjang terbabit musnah 100 peratus.
Katanya pasukan BBP Bintangor yang tiba di lokasi turut membuat pemadaman menggunakan sumber air dari sungai.
“Kesemua mangsa terlibat adalah seramai 189 orang namun maklumat lengkap semua mangsa belum dapat dipastikan kerana kebanyakan penduduk tidak berada di rumah semasa kejadian,” katanya.
Tambahnya operasi tamat kira-kira pukul 10 malam, dengan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.- KOSMO! ONLINE.