PEMERGIAN penggalas watak Profesor Albus Dumbledore, Sir Michael Gambon akibat radang paru-paru ditangisi ramai terutama selebriti yang bekerja dengannya dalam filem francais Harry Potter.
Bintang legenda berusia 82 tahun yang terbabit dalam enam siri filem itu meninggalkan memori indah kepada rakan-rakannya sehingga ramai menzahirkan rasa sayu selain memberikan penghargaan atas segala jasanya.
Penulis novel Harry Potter, J.K. Rowling berkata, pertama kali mengenali ketokohan aktor asal Dublin, Ireland itu adalah ketika menonton filem berjudul King Lear yang tayangkan pada 1982.
Rowling tidak menyangka pelakon ternama itu akhirnya bekerja dengannya dalam naskhah Harry Potter.
“Michael lelaki luar biasa dan antara aktor yang sangat mesra serta mudah bekerja dengannya.
“Salam takziah kepada keluarga Gambon serta semua orang yang menyayanginya,” kata penulis tersohor itu.
Pelakon utama filem terbabit, Daniel Radcliffe pula mendedahkan aktor berpengalaman yang mendedikasikan enam dekad hidupnya terhadap dunia seni itu sarat dengan sikap humor.
Akui pelakon berusia 34 tahun itu, sepanjang berada di set penggambaran Gambon menjadi pencetus kemeriahan dengan jenaka bersahaja.
“Sejak awal belasan tahun lagi saya mengenalinya ketika terbabit dalam Harry Potter yang merapatkan kami.
“Beliau seorang yang lucu. Saya masih ingat ketika penggambaran Prisoner of Azkaban, Gambon dan Alan Rickman yang melakonkan watak Snape meletakkan alatan mengeluarkan bunyi seakan-akan kentut di dalam beg saya.
“Apabila terpegang alat itu, bunyinya bergema di segenap ruang membuatkan semua orang ketawa. Saya tersipu-sipu malu. Itu prank yang saya kenang sampai sekarang,” luahnya yang membintangi Harry Potter ketika berusia 12 tahun.
Seperti Radcliffe yang mengakui bertuah mengenali figura dihormati ramai itu, Emma Watson selaku pemegang karakter Hermione Granger pula berkata, mendiang mempunyai peribadi yang menyenangkan ketika bekerja, namun serius mengambil gambar.
“Michael Gambon seorang yang baik hati. Terima kasih telah menunjukkan kepada kami bagaimana rasanya menjadi luar biasa.
“Kami akan sentiasa merindukan mu yang membawa kemeriahan setiap kali berada di set penggambaran,” kata aktres berusia 31 tahun itu.
Menyingkap pembabitan Gambon di arena seni, beliau bermula di pentas teater pada era 60-an sebelum beralih ke televisyen dan layar perak.
Antara peranan awalnya yang terkenal adalah sebagai pemimpin mafia psikotik dalam The Cook, the Thief, His Wife & Her Lover karya Peter Greenaway terbitan 1989 dan Raja George V menerusi The King’s Speech nukilan Tom Hooper pada 2010.
Namun karakter paling berbekas di ingatan peminat adalah sebagai pengetua Hogwarts dalam franchise Harry Potter bermula siri ketiga hingga lapan penerbitan naskhah tersebut menggantikan mendiang Richard Harris pada 2004.
Dilahirkan pada 19 Oktober 1940, Gambon mengikut keluarganya berpindah ke London dari Ireland ketika berusia enam tahun dan mula berjinak-jinak dengan pementasan teater ketika remaja.
Selain pengiktirafan atas kerja lakonannya, beliau turut dianugerahkan gelaran kesatria dengan gelaran Sir pada 1998 dan terus beraksi dalam pelbagai genre karya selepas itu.
Sekitar 2015 beliau mengambil keputusan bersara daripada sebarang aktiviti pementasan berikutan masalah kesihatan berkaitan ingatan jangka panjang, tetapi tetap beraksi untuk produksi layar perak sehingga 2019.
Anggota rasmi Royal National Theatre itu turut menerima pelbagai pengiktirafan berprestij termasuk Anugerah Olivier, British Academy Film Awards (BAFTA) dan Anugerah Emmy.
Gambon yang meninggal dunia di sebuah hospital di London semalam meninggalkan memori manis bukan saja kepada rakan seperjuangan, malah peminat filem terutama pengikut tegar Harry Potter di seluruh dunia. – HIBGLAM