KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang berusaha menangani isu kenaikan harga barang termasuk menampung dan memberi bantuan tambahan bagi mengimbangkan kesan kenaikan harga tersebut kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga sedang berjalan.
“Memang ada masalah dan saya akui harga barang dan keperluan dan kita lihat beberapa negara ada keresahan sosial yang besar kerana sekatan import beras dan peningkatan cukai eksport bawang umpamanya, itu semua beri kesan kepada ekonomi.
“Tetapi itu semua kita cuba tangani. (Kementerian Kewangan) MOF sedia tampung, beri bantuan akan diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Lembaga TH di Menara TH di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau masih memikirkan tentang rombakan Kabinet, namun baginya ia bukan suatu perkara yang mendesak.
Menurut beliau, hanya satu kekosongan jawatan Kabinet yang perlu diisi berikutan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, Julai lalu.
“(Rombakan Kabinet) tidak mendesak sangat kerana kosong cuma satu dan saya sudah minta Datuk Armizan Mohd Ali (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) dan Fuziah Salleh (Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh) beri perhatian,” katanya. – KOSMO! ONLINE