fbpx

Kastam rampas dadah bernilai RM2 juta di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wong (tengah) bersama dadah yang dirampas di KLIA pada 5 September lalu. FOTO-IHSAN JKDM

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 61 kilogram (kg) bernilai RM2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 5 September lalu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah JKDM, Wong Pun Sian berkata, pada pukul 2.35 petang, sepasukan anggota Kastam Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah, Unit lll (LTAKL) telah membuat pemeriksaan ke atas tiga bungkusan yang diikrar sebagai alat ganti (spare parts) di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.

“Hasil pemeriksaan rapi menemui lebih kurang 60 bungkusan plastik berwarna hijau dengan tulisan Refined Chinese Tea dan juga tulisan Mandarin yang di dalamnya mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 61 kg bernilai RM2 juta.

“Siasatan awal mendapati destinasi akhir ketiga-tiga bungkusan berkenaan adalah Kota Kinabalu, Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pun Sian berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan cara mengikrar bungkusan sebagai alat ganti kenderaan dan menyembunyikan dadah berkenaan di dalam paket plastik teh dengan tulisan Mandarin bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Walaubagaimanapun, usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat,” ujarnya.

Tambahnya, dengan rampasan itu pihaknya percaya berjaya membanteras pengedaran dadah itu kepada 305,000 orang penagih.

Jelasnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Susulan itu, JKDM menyeru orang ramai membantu agensi itu memerangi aktiviti penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” kata Pun Sian. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI