BANDAR RAYA NEW YORK – Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Proses Keamanan Asia Barat, Tor Wennesland meluahkan kebimbangan serius terhadap perluasan berterusan penempatan haram Yahudi di wilayah Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
Wennesland ketika berucap di hadapan Majlis Keselamatan PBB di New York berkata, sepanjang tiga bulan lalu, lebih 10,000 unit kediaman Yahudi telah dibina di kawasan Palestin.
“Penempatan haram ini semakin mengukuhkan pendudukan Israel, mencetuskan keganasan, menghalang akses rakyat Palestin ke tanah dan sumber mereka serta secara sistematik menghakis daya maju negara Palestin.
“Saya menggesa pihak berkuasa Israel menghentikan semua aktiviti penempatan haram dan menutup pos-pos tentera dengan segera, sejajar dengan kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.
Taklimat tetap itu berdasarkan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan yang diterima pakai masyarakat antarabangsa pada Disember 2016. Resolusi tersebut menuntut Israel berhenti membina penempatan baharu di tanah milik Palestin.
Wennesland menyuarakan kebimbangan meningkatnya keganasan di Tebing Barat pada tahap yang tidak pernah berlaku sejak beberapa dekad lalu.
Beliau turut melahirkan kekesalan berhubung tindakan Rejim Zionis menggunakan senjata api di kawasan padat dengan penduduk Palestin.
Pertempuran kerap tercetus dan dan meragut nyawa kedua-dua belah pihak khususnya kanak-kanak dan belia Palestin. Mereka terbunuh atau cedera semasa melakukan protes, pertempuran, operasi keselamatan dan serangan Rejim Zionis.
“Saya mengecam semua tindakan keganasan terhadap orang awam.
“Perbuatan seperti ini tidak boleh dibenarkan dan perlu dikutuk oleh semua orang. Pelaku mesti bertanggungjawab dan segera dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.
Dalam ucapannya, Wennesland turut menyentuh mengenai kekurangan dana yang menjejaskan agensi-agensi kemanusiaan PBB termasuk Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) serta Program Makanan Sedunia (WFP).
Justeru, beliau menyeru negara-negara anggota agar memberikan lebih banyak sokongan.
UNRWA memerlukan dana segera berjumlah AS$75 juta (RM353 juta) bagi mengekalkan bantuan makanan sehingga Disember 2023 untuk 1.2 juta rakyat Palestin di Gaza.
Sementara itu, WFP pula memerlukan suntikan kewangan AS$32 juta (RM150 juta) untuk usaha bantuan di seluruh Wilayah Pendudukan Palestin (OPT).
Mengakhiri taklimatnya, Wennesland berkata, tiada pengganti kepada proses politik yang sah untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel yang berlarutan sejak sekian lama. – AGENSI