IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak dan Zon Utara bakal melaksanakan kaedah penurapan jalan menggunakan teknologi baharu yang berpotensi mengurangkan kos untuk jangka masa panjang.
Menurut MBI, PBT tersebut terpilih bagi melaksanakan Projek Perintis Penurapan Semula Jalan menggunakan teknologi asfalt terubahsuai getah bekuan atau cuplump modified asphalt (CMA), selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Jelas PBT tersebut, CMA adalah kaedah penurapan jalan baharu menggunakan bitumen (tar) terpinda dengan campuran getah bekuan sebagai bahan campuran asfalt.
“Campuran itu boleh meningkatkan kualiti turapan dengan mengurangkan kesan retakan serta aluran dan memanjangkan jangka hayat turapan.
“Di samping itu, ia juga dapat mengurangkan kos penyelenggaraan jangka masa panjang jika dibandingkan dengan kaedah turapan secara konvensional sebelum ini,” menurut MBI hari ini.
Menurut MBI, antara kelebihan CMA adalah daya tahan terhadap beban berat di mana sesuai dilaksanakan di kawasan perindustrian dan jalan utama, ketahanan terhadap cuaca ekstrem serta terhadap pencemaran bahan bakar.
Selain itu, ialah kualiti permukaan turapan yang lebih baik apabila CMA dapat menghasilkan permukaan turapan yang lebih mampat dan kurang ronggaan.
Tambah MBI, kerja penurapan jalan itu dijangka bermula pada pertengahan Oktober ini dan bakal siap dalam tempoh empat hingga enam minggu. – KOSMO! ONLINE