KIRA-KIRA 50 peratus penduduk di wilayah autonomi Xinjiang beragama Islam, sekali gus menjadikannya wilayah Muslim terbesar di China.
Xinjiang juga bersempadan dengan Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Pakistan, India, Mongolia, Russia dan Afghanistan.
Atas dasar itu, saya merancang untuk meluangkan cuti di wilayah Muslim yang terletak di barat laut negara Tembok Besar tersebut.
Saya menaiki penerbangan dari Kota Kinabalu, Sabah, transit sebentar di Singapura, sebelum tiba di Lapangan Terbang Xian Xianyang, China.
Dari lapangan terbang tersebut, saya mengambil penerbangan domestik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Urumqi Diwopu di Urumqi.
Setiba di sana, saya ambil peluang untuk terokai Muzium Wilayah Autonomi Urumqi Xinjiang Uyghur dan Bazar Besar Antarabangsa dan Urumqi Changsheng Liudu.
Pada sebelah malam, saya menaiki kereta api ke kota Altay di daerah Burqin yang terletak berdekatan sempadan Kazakhstan, Mongolia, Rusia.
Saya tiba di daerah itu pada pukul 9 pagi keesokannya. Pada hari ketiga, saya hanya tumpu pada Xinjiang Kanas National Geopark.
Kanas bermaksud a land of beauty and mystery dalam bahasa Mongolia.
Pemandangan semula jadi di Xinjiang Kanas National Geopark terdiri daripada tiga bahagian besar iaitu Tasik Kanas, perkampungan Hemu dan perkampungan Baihaba.
Saya pilih untuk teroka perkampungan Hemu kerana pintu pada setiap rumah di perkampungan ini menghala ke arah timur.
Perkampungan Hemu adalah satu daripada tiga perkampungan etnik Tuvan. Di China, Tuvan tergolong dalam kumpulan etnik Mongolia.
Semua rumah di Kampung Hemu diperbuat daripada kayu yang merupakan simbol etnik Tuvan.
Bumbung biasanya dipaku dengan kayu, dinding rumah diperbuat daripada kayu balak bertindan dengan diameter 30 atau 40 sentimeter. Ini menjadikan rumah berkenaan panas dan kalis lembapan disebabkan suhu musim sejuk di kawasan ini mencecah hingga -40 darjah Celsius .
Pada hari keempat, saya melawat Wolong Bay, Shenxian Bay, sebelum menuju ke perkampungan Kanas dan Tasik Kanas.
Keindahan glasier, ketenangan air tasik, keluasan padang rumput serta ketebalan hutan purba menjadi panorama Kanas bagaikan alam kayangan.
Hari kelima, saya pergi melawat Rainbow Scenic Beach yang terkenal dengan pemandangan formasi batuan lima warna.
Keesokan harinya, saya bertolak ke bandar Yining dari Urumqi dengan menaiki kereta api yang mengambil masa lima jam untuk sampai.
Pemandangan di Yining sangat memukau terutamanya di Tasik Sayram dan Grassland. Saya juga melawat Tapak Warisan Semula Jadi Dunia Kuerdening. Pada hari kesembilan, saya bertolak ke Lanzhou menaiki pesawat dan mengambil peluang menerokai bandar mereka. Keesokannya, saya pulang semula ke Kota Kinabalu .
Saya mengesyorkan Xinjiang buat pelancong Muslim kerana makanan di situ majoritinya halal dan sedap.