MELAKA – Seorang warga emas tabah meneruskan hidup sebatang kara di bawah pondok usang yang dibinanya menggunakan barang terpakai di Jalan Bunga Raya di sini sejak tiga tahun lalu.
Menurut Tan Hock Chuang 62, kehidupannya berubah menjadi daif sejak 14 tahun lalu apabila pergelangan kaki kanannya tiba-tiba membengkok hingga menyebabkannya sukar bergerak.
Ujarnya, dia yang ketika itu bekerja sebagai penjaga parkir cuba mendapatkan rawatan di hospital, namun tidak mampu membayar kos rawatan sekitar RM45,000.
“Dulu saya bekerja dengan gaji sekitar RM40 sehari dan mampu sewa bilik sebanyak RM200 sebulan di Jalan Bunga Raya, tetapi terpaksa berhenti selepas kaki menjadi bengkok.
“Setiap kali bergerak, kaki saya akan membengkok seperti terseliuh dan tulang buku lali akan tertekan keluar, itu yang membuatkan saya rasa sakit.
“Saya cuba mendapatkan rawatan dan telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur, namun tidak mampu bayar kos rawatan sebanyak RM45,000,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, selepas dihalau keluar daripada bilik sewanya kerana tidak bekerja, dia membina sebuah pondok kecil berhampiran pusat beli-belah dekat sini menggunakan bahan-bahan terbuang termasuk kain kanvas yang dijadikan bumbung.
Kini katanya, dia mengharapkan simpati orang ramai untuk mendapatkan makanan, selain mengutip tin minuman dan barangan kitar semula untuk dijual bagi mendapatkan wang.
Katanya, dia tetap berusaha untuk bergerak menggunakan tongkat dan basikal tua diberikan oleh orang awam atas dasar ihsan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0410041100114937 atas nama Tan Hock Chuang.