SHAH ALAM- Restoran Mee Mamu meneruskan tradisi setiap tahun dengan menyediakan 1,500 bungkusan mi berkenaan secara percuma kepada orang ramai sempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.
Ini melibatkan dua cawangannya iaitu di Seksyen 2 di sini dengan 1,000 bungkusan dan Kuala Lumpur (500).
Pemilik perniagaan itu, Nur Hafizah Mohd. Habeebullah berkata, program tahunan itu dilakukan sebagai berkongsi rezeki dan memperingati maulidur rasul.
Katanya, setiap pelanggan diberikan dua bungkusan bagi memastikan mampu dirasai lebih ramai orang.
“Sebelum ini kami ada tiga cawangan namun kini tinggal dua iaitu di Shah Alam dan Kuala Lumpur. Namun, kami tetap teruskan tradisi tahunan ini.
“Kita percaya rezeki akan bertambah selagi kita berkongsi dengan orang ramai. Ini ada cara kami mensyukuri nikmat daripadaNYA,” katanya ketika ditemui hari ini.
Jelasnya, program itu bermula pukul 12 tengah hari sehingga 6 petang bergantung kepada bungkusan yang ada. – KOSMO! ONLINE