SEGAMAT – Polis menumpaskan ‘port’ pengedaran dadah selepas menyerbu sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Jalan Minning, Chaah di sini pada 16 September lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, dalam operasi itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an di sekitar kebun sawit berkenaan.
“Suspek yang memandu sebuah kereta jenis Toyota Corolla ditahan. Pemeriksaan dalam beg silang hitam menemukan pelbagai jenis dadah.
“Antara yang dirampas tiga peket heroin seberat 312.80 gram (g), methamphetamine (1.50g) dan kanabis (3.2g) bernilai RM9,710,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zamry, hasil soal siasat, suspek mendakwa dia menjadi tokan secara kecil-kecilan dengan menyamar sebagai pekebun sawit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Lelaki itu terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sejak beberapa bulan lalu memilih lokasi di sekitar kebun sawit di Chaah.
Ujian air kencing mendapati suspek positif morfin dan memiliki sembilan rekod dadah. Polis menyita kereta, wang tunai, dadah dengan nilai keseluruhan RM16,000. -KOSMO! ONLINE