TOKYO, Jepun – Tiada tritium ditemui pada sampel ikan yang diambil dari perairan berhampiran loji nuklear Fukushima-Daiichi selepas sisa radioaktif terawat dilepaskan bulan lalu, demikian menurut kerajaan Jepun seperti dilaporkan akhbar The Maniachi kelmarin.
“Tritium tidak dikesan pada sampel dua ikan halibut yang diuji Ahad lalu,” kata Agensi Perikanan Jepun di laman webnya.
Agensi itu menyediakan kemas kini hampir setiap hari sejak sisa radioaktif terawat dilepaskan dalam usaha untuk menghapuskan khabar angin mengenai kesan buruknya terhadap alam sekitar.
Keputusan ujian sampel air pertama diterbitkan pada 9 Ogos lalu sebelum sisa radioaktif terawat mula dilepaskan pada 24 Ogos lepas.
Air itu telah digunakan untuk menyejukkan bahan api nuklear cair di loji berkenaan tetapi telah menjalani proses rawatan yang mengeluarkan kebanyakan radionuklid kecuali tritium.
Baki tritium kemudiannya dicairkan kepada satu per empat kepekatan yang dibenarkan di bawah piawaian keselamatan Jepun, sebelum dilepaskan ke Lautan Pasifik melalui terowong bawah air sepanjang 1 kilometer dari loji tepi laut. Loji itu musnah akibat gempa bumi dan tsunami besar pada 2011.
Sampel ikan tempatan kemudian dikumpulkan di dua titik dalam radius 5 kilometer dari saluran itu, kecuali semasa keadaan cuaca buruk dengan agensi itu mengumumkan keputusan analisisnya hampir setiap hari sejak 26 Ogos.
Hasilnya mendapati, tiada tritium yang dikesan dalam 64 ekor ikan termasuk spesies halibut dan enam spesies lain yang dikumpul sejak 8 Ogos lalu.
Agensi Perikanan Jepun merancang untuk memeriksa kira-kira 180 sampel ikan menjelang akhir Mac 2024, dengan titik pengumpulan dijangka kekal tidak berubah. – AGENSI