PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat menerapkan akhlak mulia dalam pertuturan dengan menutur bicara kebenaran, bersikap jujur serta menjauhi fitnah, kata-kata dusta dan pembohongan.
Dalam titah baginda bersempena sambutan Maulidul Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini, Baginda mengajak masyarakat untuk bersama mencontohi akhlak warisan maknawi Rasulullah SAW yang amat bernilai dan istimewa.
Baginda bertitah, setiap baris-baris tutur kata Rasulullah SAW disulami dengan penuh kesantunan dan memancarkan keperibadian mulia serta hormat kepada teman bicara.
“Baginda tidak berbicara kecuali dalam hal yang bermanfaat dan tidak pernah menuturkan tipu daya, apatah lagi nista kepada pengikut mahupun penentangnya.
“Hakikatnya, perkataan yang kurang elok, sama ada ketika tutur bicara mahu pun ketika menulis di media sosial, kata-kata berbentuk cacian, nista dan dusta serta fitnah akan hanya menggugat kestabilan dan keharmonian negara tercinta,” titahnya.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru masyarakat mengambil iktibar dengan kejatuhan serta keruntuhan tamadun dan kuasa besar dunia akibat daripada budaya fitnah yang mendominasi dan membarah dalam kehidupan bangsanya.
Titah baginda, selepas kewafatan Rasulullah SAW, fenomena fitnah membawa kepada peristiwa amat tragis dalam sekarah Islam menerusi pembunuhan khalifah ketiga, Saidina Uthman Bin Affan.
“Demikian hebat hakikat fitnah dan tipi daya yang bukan sahaja telah menumpahkan darah seorang pemimpin Islam yang agong, malah turut menghancurkan keharmonian dan kestabilan sebuah negara.
“Kerana otu Allah SWT mengingatkan seluruh umat Islam untuk menghindari serta menjauhi orang-orang yang tidak bercakap benar,” titah baginda.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berangkat pada majlis berkenaan bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan tiba kedua baginda pada pukul 10 pagi itu disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Sambutan dengan tema ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ adalah merupakan manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini. – KOSMO! ONLINE