fbpx

Tapak kaki bengkok, Bad Indigo perlu ‘X-leg’ Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Bad Indigo mendakwa kini mengalami masalah saraf pada kaki kirinya sehingga membuatkan tapak kakinya membengkok dan terasa sakit ketika berjalan.

PETALING JAYA – Penyanyi Bad Indigo masih berusaha mendapatkan penyangga kaki khas bagi melancarkan pergerakkan yang hanya didapati di Amerika Syarikat (AS) pada harga RM5,000.

Katanya, keadaan kaki kiri yang sebelum ini dipotong pada bahagian jari berdepan masalah saraf sehingga membengkok ke dalam, sekaligus mengakibatkan rasa sakit untuk melangkah.

“X-leg bukan kaki palsu, tetapi sistem sokongan untuk melancarkan pergerakkan bagi mereka yang mempunyai masalah tapak kaki tidak rata macam saya alami sekarang.

“Saya tahu mengenainya menerusi YouTube, cuma masalah sekarang daripada maklumbalas pengeluar, mereka tidak menghantar barang itu ke luar negara.

“Harganya sekitar RM5,000, namun saya kena cari jalan mendapatkan ‘X-leg’ itu memandangkan tiada kenalan atau tahu sesiapa yang boleh mengirimkannya dari California,” katanya kepada Kosmo! Online.

Penyanyi kumpulan Indigo itu turut memaklumkan di pasaran memang ada dijual produk seakan sama, namun jenis yang ingin dibeli itu khusus untuk tapak kaki.

“Saya sudah berhubung dengan pengeluar bagi mengenal pasti perincian produk terbabit. Cuma kena tunggu lagi sehingga dapat cara menghantarnya ke sini.

“Kalau dapat beli alat itu, mudahlah saya bergerak dan terima undangan nyanyian. Sekarang ini penganjur tak panggil mungkin mereka takut menyusahkan saya naik ke pentas sebab berkerusi roda.

“Banyak pentas tiada lagi kemudahan tanjakan untuk kerusi roda. Jadi alat itu boleh tolong saya berdiri dan jalan tanpa perlu berpijak, sekaligus boleh gunakan tangga,” ulasnya.

Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 48, yang kehilangan kesemua jari kaki kiri sejak Mac tahun lalu akibat kencing manis mengakui rasa sakit untuk menapak.

Begitupun, perkara tersebut tidak dijadikan alasan untuk malas keluar bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah bengkel kereta sejak awal tahun lalu.

Ditanya mengenai bantuan agensi berkaitan, katanya jika ada keperluan seperti membeli X-leg baru dia akan mengemukakan permohonan meminta bantuan kewangan.

“Sebelum ini memang ada yang bertanya sama ada saya ada menerima bantuan bulanan, tetapi buat masa ini saya masih boleh bekerja jadi belum ada keperluan berbuat demikian.

“Tengok nanti macam mana. Bagi pembelian X-leg pula, sekarang pun saya masih belum dapat apa-apa pengesahan. Kalau sudah sahih saya akan buat permohonan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI