HULU SELANGOR – Sebuah rumah teres satu tingkat dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran sekitar Rumah murah Kerling di Jalan Kuala Kubu Bharu-Rawang, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi itu, lima penghuni rumah terbabit sempat menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.18 pagi.
Katanya, seramai 13 anggota dan dua jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu serta BBP Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi didapati rumah berkenaan terbakar 80 peratus manakala Toyota Hilux terbakar sepenuhnya dan Toyota Estima hanya 15 peratus.
“Kita percaya kebakaran bermula dari tempat letak kenderaan dan ia sempat disedari pemilik rumah berusia 63 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, api dapat dikawal pada pukul 1.55 pagi dan padam sepenuhnya pukul 2.50 pagi. -KOSMO! ONLINE.