GEORGE TOWN – Seorang pekerja pembersihan menemui mayat bayi perempuan dipercayai cukup sifat dalam lori sampah di kawasan perumahan flat di Bandar Baru Air Itam di sini, pagi tadi.
Mayat bayi dipercayai baru lahir itu ditemui pemandu lori sampah ketika melakukan kerja-kerja memungut sampah di blok perumahan berkenaan pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan penemuan mayat bayi itu.
“Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE