TEHERAN, Iran – Iran melancarkan satelit pengimejan ketenteraan baharu dalam perkembangan yang mencetuskan kembimbangan Barat, lapor portal berita TRT World semalam.
“Satelit pengimejan Nour-3 berjaya diletakkan di orbit pada ketinggian 450 kilometer dari tanah,” kata agensi berita IRNA yang memetik kenyataan Menteri Telekomunikasi, Issa Zarepour.
Menurut Zarepour, Nour-3 dilancarkan menggunakan roket pembawa satelit tiga peringkat yang digunakan untuk melancarkan satelit Nour-2 pada 2022 dan Nour-1 dalam tahun 2020.
Pelancaran Rabu lalu itu dilakukan oleh sayap aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Amerika Syarikat (AS) berulang kali memberi amaran kepada Iran mengenai pelancaran sedemikian dengan alasan teknologi sama boleh digunakan untuk membina peluru berpandu balistik, termasuk yang direka untuk membawa peledak nuklear.
Iran bergelut dengan beberapa kegagalan pelancaran satelit pada masa lalu, manakala kejayaan pelancaran satelit tentera pertamanya ke orbit, Nour-1 pada April 2020 mendapat teguran tajam daripada AS.
Teheran menegaskan bahawa Iran tidak membina senjata nuklear dan pelancaran satelit serta roketnya adalah untuk tujuan awam.
Teheran berada di bawah sekatan AS sejak Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran pada 2018. – AGENSI