Saya ada kemusykilan di sini, apakah hukum mengerat sedikit ranting dan tunas atau mengambil anak yang tumbuh dari pokok bunga di tepi jalan raya atau taman untuk ditanam di rumah sendiri. Tujuan mengerat sedikit ranting untuk mendapat benih/baka bagi tumbuhan tersebut, sesetengah yang lain untuk perubatan tradisional kerana tumbuhan itu agak susah didapati dan mahal.
Sesetengah tumbuhan yang ada seperti tidak dijaga dan terbiar.
Cara mengerat atau mengambil anak pohon tersebut adalah dengan mengerat dengan baik dan tidak merosakkan tumbuhan tersebut. Harap mendapat penjelasan?
JAWAPAN: Hukum asal adalah haram mengambil atau mengerat walaupun sedikit ranting atau tunas pada pokok di tepi jalan atau taman kerana ia adalah milik orang lain kecuali dengan izinnya.
Perkara ini termasuk dalam kategori mengambil atau memakan harta orang lain secara batil (salah) yang telah diharamkan oleh Allah SWT seperti dalam firmannya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah.” (Surah al-Baqarah: 188)
Namun, syarak mengiktiraf adat dan budaya baik setempat. Jika adat dan budaya sesuatu tempat masyarakat yang hidup berjiran saling membenar dan menghalalkan sesama mereka, maka ia adalah dibenarkan mengambil serta memakannya dengan tidak berlebih-lebihan sekadar untuk keperluan dirinya.
Akan tetapi berasaskan kepada sifat wara’, adalah baik untuk tidak mengambil dan memakannya kecuali telah diketahui secara pasti bahawa jiran atau tuan tanah tersebut sememangnya seorang yang baik hati atau terus sahaja meminta izin daripadanya atau orang menguruskannya.
Hal ini termasuk tanah milik kerajaan atau rizab yang telah ditentukan, maka sebaiknya hendaklah mendapat keizinan terlebih dahulu. Demikianlah adab-adab yang dititikberatkan dalam Islam.