PADANG BESAR – Kejadian angin kencang dan hujan lebat selama dua jam pada petang tadi menyebabkan permukaan air di Empangan Timah Tasoh, dekat sini bergelora.
Menurut Timbalan Pengerusi Koperasi MyKP, Abd. Azhar Abd. Aziz berkata, fenomena tersebut jarang berlaku dan menyebabkan permukaan empangan bergelora seperti di lautan disebabkan tiupan angin kencang.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi dengan angin kencang mula membadai kawasan empangan ini yang menempatkan Santuari Ikan Air Tawar.
“Angin kencang berterusan selama kira-kira satu jam sebelum diikuti hujan selama satu jam lagi. Kejadian ini biasanya hanya berlaku sekali atau dua kali setahun,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Abd. Azhar berkata demikian ketika diminta mengulas video yang memaparkan beberapa bot dilambung ombak umpama berada di laut walaupun ia sebenarnya berlaku di kawasan empangan air tawar.
Tambahnya, kejadian itu menyebabkan laluan menaiki bot mengalami kerosakan dengan nilai kerugian awal dianggarkan RM1,000.
Katanya, kejadian itu tidak membawa sebarang kecederaan dan hanya ada beberapa pelancong sedang berkhemah di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong itu.
Dalam perkembangan lain, hujan lebat dan angin kencang turut menyebabkan kawasan rendah serta jalan raya di sekitar Mata Ayer dinaiki air akibat kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE.