PETALING JAYA – “Inilah manusia bila tiada kerja, sibuk dengan idah orang.”
Demikian respons pedas pelakon Puteri Sarah terhadap seorang wanita didakwa bekas kakak ipar kepada Ira Kazar yang masih menganggu ketenteraman hidupnya.
Dalam masa sama, pemilik nama lengkap Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, memberi peringatan tentang saman yang tetap diteruskan terhadap individu bernama Wiwie Darvienda Mazweenda itu.
“Ada seseorang kongsikan kepada saya. Apa idah saya 100 tahunkah? Sudah kena saman, duduklah diam-diam.
“Simpan duit untuk bayar saman nanti. Mahu belajar cara buat duit? Boleh join pasukan saya.
“Kita tidak mahu jadi macam ini yang suka jaga tepi kain orang,” tulisnya dalam perkongsian Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Puteri Sarah turut memuat naik tangkap layar perbualan Wiwie bersama seorang individu.
Bekas menantu aktor senior Kazar Saisi itu mendakwa Puteri Sarah tidak menjaga hukum idah selain mempersoalkan maruah ibu anak dua itu.
Pada Ogos lalu, Puteri Sarah bertegas dengan keputusannya untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap wanita terbabit yang sering menganggu kehidupannya.
Sebelum ini, Puteri Sarah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira yang didakwa kekasih Syamsul ketika itu pada Jun lalu.
Mahkamah kemudian mengeluarkan perintah injunksi inter-parte bagi kedua-dua pihak antara lain menyatakan Ira atau sesiapa berkaitan anak pelakon Kazar Saisi itu tidak menjejaskan ketenteraman Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga Datuk Yusof Haslam.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah akhirnya berakhir apabila disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam , 6, dan Summayah, 5. – KOSMO! ONLINE