PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat berserta ribut petir masih berpotensi melanda negeri di utara Semenanjung sehingga awal November depan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), MetMalaysia, Lim Ze Hui berkata, meskipun keadaan cuaca direkodkan bertambah baik, namun pihaknya turut menjangkakan kehadiran hujan lebat di sebelah petang mampu menyebabkan berlakunya banjir di kawasan berisiko.
Katanya, hujan lebat berterusan yang berlaku baru-baru ini adalah disebabkan negara berada dalam Fasa Peralihan Monsun yang mana arah angin berubah akibatkan beberapa negeri mengalami banjir.
“Buat masa sekarang keadaan cuaca di negeri-negeri utara Semenanjung beransur baik dan di Sabah dan Sarawak begitu juga.
“Namun, dalam tempoh peralihan monsun, garis badai yang terbentuk di perairan Selat Melaka masih berpotensi berlaku, begitu juga hujan lebat serta ribut petir pada sebelah petang yang boleh berlarutan sehingga malam di kebanyakan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan MetMalaysia telah menamatkan Amaran Hujan Berterusan tahap waspada di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE