KOTA SAMARAHAN – Gara-gara seorang kanak-kanak berusia empat tahun bermain api, kuarters Desa Bina Diri di Jalan Dato Mohd Musa, di sini terbakar petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kanak-kanak terbabit dikatakan membakar kotak telur dan membawa api ke tempat terkumpulnya barang lusuh yang diletakkan di beranda kuarters berkenaan.
Katanya, susulan laporan mengenai kejadian yang diterima kira-kira pukul 4.27 petang itu, pihaknya segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi mendapati kebakaran melibatkan barang-barang lusuh di beranda kuarters terbabit sehingga menyebabkan dinding kuarters terkopak akibat kepanasan melampau.
“Bagaimanapun api berjaya dipadam oleh penghuni-penghuni kuarters menggunakan alat pemadam api dan air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan sama ada terdapat mangsa di dalam bangunan dan memastikan kebakaran padam sepenuhnya.
“Setelah menilai keadaan tempat kebakaran didapati masih ada bara-bara api di dalam bilik menempatkan kabel elektrik.
“Pasukan membuat pemadaman menggunakan salur bantu mula hingga api padam sepenuhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE