fbpx

K2

Bolehkah beri zakat kepada anak sendiri yang menjanda, tiada kerja?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Bolehkah kalau seorang bapa memberi zakat pendapatan pada anak perempuannya yang berstatus janda anak seorang dan tiada pekerjaan?

JAWAPAN: Pemberian zakat wajib diberikan kepada asnaf-asnaf yang telah dinyatakan oleh Allah SWT. Allah SWT telah berfirman seperti berikut:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.” (Surah al-Taubah : 60).
Ayat di atas menjadi dalil tentang golongan yang layak untuk mendapat bahagian daripada zakat.

Oleh yang demikian, seseorang Muslim tidak boleh memberikan zakat kepada mereka yang di bawah tanggungannya, walaupun disebabkan faktor kemiskinan.
Ini bermakna, anak atau isteri tidak boleh mendapatkan harta zakat daripada bapa atau suaminya. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 2/41).

Ramai sedia maklum seseorang wali itu bertanggungjawab kepada anak perempuan atau saudara perempuannya yang belum berkahwin.

Wali, salah satu syarat sah nikah bagi sesebuah perkahwinan, sebagaimana yang dijelaskan sebuah hadis yang bermaksud: Daripada Abi Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali.” (HR al-Khamsah dan An-Nasa’i).

Bagaimana pula dengan tanggungjawab wali terhadap anak perempuannya yang sudah bercerai atau menjadi balu akibat kematian suami? Adakah tanggungjawab terbabit kembali kepada mereka?

Berdasarkan hadis di atas, peranan wali juga sama dan tidak terlepas terhadap anak perempuan mereka yang berstatus janda (ibu tunggal) atau balu. Anak perempuan yang sudah bercerai dengan suami atau kematian suaminya perlu dibela nasib mereka dengan sebaiknya.

Ini termasuk dalam memberikan bantuan berupa keperluan harian, makan minum, tempat tinggal sewajarnya serta pendidikan anak.

Tanggungjawab memberikan nafkah dikembalikan kepada wali selepas suami menceraikannya atau meninggal dunia.

Puteri kedua Rasulullah SAW bernama Ruqayyah, selepas bercerai dengan suaminya, ‘Utbah, maka Baginda SAW bertanggungjawab terhadapnya yang kemudian menikahkan beliau dengan Saidina Uthman bin Affan RA.

Begitu juga dengan puteri ketiga Baginda SAW bernama Ummu Kulthum yang bercerai dengan suaminya bernama ‘Utaibah.

Rasulullah SAW mengambil kembali tanggungjawab dan kemudian dinikahkan dengan Saidina Uthman RA selepas kekandanya Ruqayyah meninggal dunia.

Saidatina Hafshah RA selepas suaminya syahid di medan perang Uhud, maka dia kembali kepada bapanya Saidina Umar bin Khattab RA.

Jika sekiranya wali seorang yang tidak berkemampuan, maka yang bertanggungjawab terhadap ibu tunggal dan balu adalah pemerintah, sama ada dengan mencarikan suami bagi mereka atau memberikan bantuan baitulmal.

Wali perlu membantu anak perempuannya yang bercerai atau kematian suami dalam meneruskan kelangsungan hidup, sebagaimana ketika mereka belum berkahwin.

Bantu sehingga mereka berkahwin semula. Dalam hal seorang anak perempuan yang kematian suami, tanggungjawab memberi nafkah untuk dirinya kembali menjadi tanggungjawab wali, bukan dengan membiarkan mereka bertungkus-lumus mencari nafkah hingga terpaksa keluar bekerja ketika tempoh idah kematian suaminya.

Oleh sebab itu, Islam menetapkan dalam kadar pembahagian faraid, bahagian isteri paling sedikit berbanding bahagian diterima waris lain.

Waris lelaki yang membiarkan si balu mencari nafkah serta menanggung sendiri keperluan anak yang kematian bapanya, ia suatu tindakan yang zalim kepada si balu dan anak yatim berkenaan.

Jika seorang wali mengabaikan mereka dan tidak menjalankan tugas ini sebaiknya, maka wali itu mengkhianati amanah Allah.

Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa tidak harus dan tidak dibolehkan untuk memberikan zakat kepada anak sendiri yang belum berkahwin atau yang telah berstatus janda. Namun, dalam hal ini adalah digalakkan untuk bapa selaku wali kepada anak tersebut memberi nafkah dan membantu anak-anak dalam urusan kehidupan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI