PETALING JAYA – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) memberi jaminan bahawa bekalan beras putih dalam negara adalah mencukupi.
Bernas menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menyalurkan sebanyak 630,000/TM dari Januari hingga Ogos 2023 iaitu peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding purata jualan bulanan bagi tempoh lima tahun lepas melibatkan pengurusan bekalan beras import ke dalam negara.
“Ini bermakna, bekalan beras putih adalah lebih dari mencukupi tanpa kerajaan perlu menggunakan bekalan stok penimbal,” jelas kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu lagi, Bernas memaklumkan permintaan ke atas beras putih tempatan semakin meningkat disebabkan perbezaan harga pasaran berbanding beras import.
“Peningkatan ini disebabkan peralihan permintaan daripada beras putih import kepada beras putih tempatan oleh pengguna, pembekal kontrak dan pemain-pemain industri makanan.
Tambah Bernas, melalui peranannya sebagai ‘Buyer of Last Resort’ atau pembeli padi yang terakhir, purata pegangan pasaran padi tempatan pihaknya hanya sekitar 10 peratus, manakala selebihnya dibeli dan diproses oleh kilang-kilang swasta.
Namun, Bernas memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa komited dan menyokong semua program intervensi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menjamin bekalan beras tempatan. – KOSMO! ONLINE