PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan untuk mengemukakan suatu pelan komprehensif dalam mengatasi masalah bekalan beras tempatan yang dihadapai ketika ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan segera tersebut perlu diambil bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan isu kekurangan beras yang kian berlarutan.
“Isu kekurangan beras putih tempatan nampaknya masih belum selesai walaupun telah berlarutan agak lama. Rakyat masih merungut tentang kesukaran untuk membeli beras tempatan di kedai-kedai runcit dan pasar raya.
“Oleh kerana beras tempatan sukar diperoleh di pasaran, ramai yang beratur panjang untuk membeli beras di lokasi-lokasi jualan yang diusahakan oleh FAMA.
“Keadaan ini tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Perkembangan ini amat membimbangkan kita memandangkan beras adalah makanan ruji rakyat,” katanya melalui satu kenyataan di Facebook hari ini.
Katanya lagi, Malaysia memerlukan 2.68 juta tan beras setahun di mana 1.11 juta tan adalah beras import namun, tindakan negara pengeluar beras mengenakan sekatan eksport beras menyebabkan Malaysia kini berdepan krisis bekalan beras.
Lebih memburukkan keadaan apabila pengeluaran beras tempatan semakin merosot daripada 1.68 juta tan kepada 1.57 juta tan pada tahun 2022.
“Kerajaan mesti memandang serius masalah ini. Ia mungkin permulaan kepada suatu krisis yang lebih besar pada masa hadapan. Kita tahu bahawa perubahan iklim dunia telah menyebabkan kemarau dan banjir di banyak negara yang menjejaskan pengeluaran bahan makanan termasuk beras.
“Dalam keadaan negara kita masih bergantung kepada import bahan makanan yang tinggi, kekurangan pengeluaran bahan makanan di negara-negara yang terjejas dengan perubahan iklim akan menjejaskan bekalan makanan di negara kita.
“Untuk itu, saya menggesa kerajaan supaya mengemukakan suatu pelan tindakan komprehensif untuk mengatasi masalah bekalan beras tempatan pada masa ini dan memastikan rakyat Malaysia sentiasa mempunyai makanan di atas meja,” katanya. – KOSMO! ONLINE