fbpx

Zaiton Sameon syukur ‘dihujani’ bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAITON SAMEON

PETALING JAYA – Seperti bulan jatuh ke riba, penyanyi veteran Zaiton Sameon bersyukur ramai yang tampil menghulurkan bantuan buat dirinya bagi meringakn beban hidup sejak beberapa hari lalu.

Zaiton mengakui tidak menyangka ramai masih prihatin dengan nasibnya seperti yang disuarakan sebelum ini.

“Saya cuma nak ucapkan syukur kepada Tuhan kerana memberi rezeki yang tidak putus-putus buat saya ketika ini.

“Sejak daripada saya berkongsi hari itu memang ramai yang hubungi . Rasa sedih dan sebak apabila ramai yang hadir menghulurkan bantuan,” katanya kepada Kosmo! Online di majlis ulang tahun ke-18 mStar dan pelancaran mStar Baek di sini, semalam.

Dia yang terkenal menerusi lagu Menaruh Harapan memberitahu kebanyakan bantuan yang diterima adalah dalam bentuk wang tunai.

“Kebanyakan yang saya terima ialah wang tunai. Insya-Allah bantuan rumah masih dalam proses.

“Selepas cerita mengenai saya tular tenpoh hari, seperti ramai yang berlumba-lumba nak beri bantuan,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia juga menegaskan masih mampu menyanyi sekaligus terbuka menerima jemputan daripada mana-mana pihak untuk menjemputnya membuat persembahan.

“Selain bantuan kewangan, ada juga tawaran nyanyian untuk beberapa majlis. Kalau nak tahu, saya masih lagi boleh menyanyi. Saya boleh lakukan persembahan selama sejam.

“Kalau orang minta tiga atau empat lagu, saya beri lima hingga enam lagu sebab mahu semua rasa puas menonton persembahan.

Apapun, selagi orang nak lihat saya menyanyi, saya akan teruskan kerjaya ini,” katanya lagi.

Terdahulu, penyanyi berusia 67 tahun itu dalam satu temu bual mendedahkan amat memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.

Selain bantuan kewangan dia juga memohon bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur tahun lalu, namun hingga kini masih tidak mendapat apa-apa jawapan daripada pihak berkenaan.

Mengimbau semula, Zaiton pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.

Penyanyi yang merangkul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1987 ini turut parah di bahagian kepala hingga menyebabkan dia hilang ingatan sementara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI