fbpx

K2

Segera tangani cabaran ekonomi semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Persoalan mengenai kewajaran pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu diketepikan seketika bagi memberi ruang kepada proses menangani cabaran ekonomi semasa.

Walaupun umum menyedari GST mampu membantu melonjakkan kutipan hasil negara, tetapi keutamaan ketika ini adalah untuk menggerakkan usaha bagi menangani cabaran ekonomi seperti yang digariskan dalam dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK-12).

Keutamaan ini boleh dilihat dari tiga sudut utama iaitu melibatkan sasaran RMK-12, aspek perkembangan global dan kewujudan isu ekonomi lapuk yang masih tidak dapat ditangani sepenuhnya.

Dalam konteks RMK-12, sebahagian sasaran yang ditetapkan merupakan lanjutan daripada RMK-11 (2016-2020).

Keadaan ini wujud lantaran penularan pandemik Covid-19 pada penghujung tempoh RMK-11 yang telah merencatkan keadaan ekonomi negara dan global.

Contoh jelas boleh dilihat adalah menerusi sasaran pencapaian 40 peratus bahagian pampasan pekerja (CE) daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Dengan tampak peratusan CE yang semakin merudum dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan RMK-12, jurang kepada sasaran CE kian melebar. Jurang pencapaian dan sasaran dianggarkan sekitar 4.9 peratus pada tahun 2021 dan melebar kepada 7.6 peratus pada tahun 2022.

Bagaimana pula dengan 2023, adakah terus melebar atau semakin mengecil?

Sehubungan itu, kerangka KSP RMK-12 telah menetapkan untuk menggerakkan usaha mencapai sasaran ini melalui inisiatif menangani ketidakpadanan bakat, melonjakkan produktiviti dan meningkatkan pendapatan buruh.

Antara lain, inisiatif tersebut akan disokong oleh program pembangunan bakat dan kemahiran yang holistik serta pengenalan model gaji progresif.

Dari sudut perkembangan global, tempoh RMK-12 merupakan satu tempoh pelaksanaan dasar pembangunan ekonomi yang sangat mencabar berbanding tempoh Rancangan Malaysia terdahulu.

Inisiatif yang dapat mempercepat proses reformasi struktur ekonomi seperti lonjakan industri pertumbuhan tinggi serta pelaburan berkualiti amat dialukan. – Gambar hiasan

Ini kerana, kita bukan saja berdepan isu yang dibawa krisis pandemik, tetapi turut melibatkan isu berantai yang dicetuskan oleh ketegangan geopolitik dan perubahan iklim.

Ketegangan geopolitik contohnya memberikan impak besar kepada prospek perdagangan luar dan menyebabkan kelembapan aliran dagangan negara.

Krisis perubahan iklim pula memburukkan lagi situasi keterjaminan makanan negara yang dihimpit tekanan inflasi.

Bagi memperkukuh prospek perdagangan luar khususnya, beberapa inisiatif penting telah dirancang melibatkan peningkatan hubungan dagang melalui pemanfaatan perjanjian perdagangan, peningkatan keupayaan eksport, peluasan akses pasaran dan sebagainya.

Sementara itu, untuk mengatasi tekanan inflasi makanan, usaha dikerah untuk meningkatkan stok barangan makanan bagi mengimbangi harga dan menambah baik kecekapan sistem pengedaran.

Paling penting, kewujudan isu lapuk seperti peralihan struktur ekonomi yang perlahan perlu ditangani terlebih dahulu untuk mengelakkan negara kekal terjerat dalam kategori negara berpendapatan sederhana.

Perlu diingat bahawa Malaysia telah berada dalam kelompok ini semenjak klasifikasi pendapatan negara mula digunakan dalam siri pertama World Development Report yang diterbitkan oleh Bank Dunia pada tahun 1978.

Menyedari hakikat ini, usaha KSP RMK-12 untuk mempercepat proses reformasi struktur ekonomi perlu diberikan keutamaan. Beberapa inisiatif yang diharap menggerakkan proses reformasi termasuklah lonjakan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), tumpuan pelaburan berkualiti tinggi dan lonjakan produktiviti.

Berbalik kepada pelaksanaan semula GST, sebaiknya hasrat ini dizahirkan secara jelas dalam kerangka Rancangan Malaysia yang seterusnya, iaitu RMK-13.

Melalui proses ini, pelaksanaan GST boleh disasarkan dalam tempoh penghujung pelan tersebut, agar sistem ekonomi negara dapat disediakan sebaiknya bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI