GEORGE TOWN – Rumah kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang terletak di Jalan P. Ramlee di sini sepatutnya terjaga rapi sesuai dengan status beliau sebagai seniman agung negara.
Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku apabila kediaman tersebut berada dalam keadaan menyedihkan ketika ini.
Tinjauan mendapati atap dan siling yang diperbuat daripada anyaman mengkuang itu hampir roboh kerana masalah kebocoran yang dikatakan berlarutan sejak sekian lama.
Malah, keadaan itu mendapat perhatian bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang memuat naik perkara tersebut di Facebook.
Keuzuran rumah itu turut membimbangkan Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff yang merupakan peminat seniman tersebut.
Mohd. Yusoff berkata, beliau berharap pihak berkuasa yang menguruskan rumah P. Ramlee, Arkib Negara dapat membaiki siling dengan kadar segera bagi memastikan khazanah negara sentiasa terpelihara.
”Saya kecewa dengan keadaan rumah kelahiran Seniman Agung P. Ramlee yang kini rosak, tidak sepatutnya keadaan ini berlaku. Rumah ini adalah warisan negara di mana di sini lahirnya seniman agung negara. Saya berharap rumah ini dapat dibaik pulih segera,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, pengunjung dari Besut, Terengganu, Alif Shuhaimi, 28 berkata, dia terkejut melihat keadaan siling rumah P. Ramlee yang hampir roboh dan dianggap berbahaya kepada pengunjung terutama ketika musim hujan.
“Pertama kali saya berkunjung ke rumah ini kerana saya merupakan peminat filem-filem arahan dan lakonan P. Ramlee. Sepatutnya pihak yang menguruskan rumah ini ambil berat tentang kediaman ini memandangkan ia adalah satu tinggalan bersejarah negara,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Wan Nurul Ain Wan Ismail,27, berkata, dia mlihat keadaan siling rosak ketika mula-mula melangkah masuk ke ruang tamu dan ia dapat dibaiki segera untuk keselamatan pengunjung. -KOSMO! ONLINE
Habis//