KOTA BHARU – Seorang penganggur tidak sempat mengedar sebanyak 234,000 biji kuda bernilai RM2.57 juta apabila dicekup semasa sedang menunggu pelanggannya Lubok Jong, Pasir Mas, dekat sini pada Sabtu lalu.
Suspek yang berusia 26 tahun diberkas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan semasa menjalankan Op Tapis Khas kira-kira pukul 11 malam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan dijalankan, suspek sedang berdiri di tepi pintu bahagian pemandu kereta jenis Proton Perdana.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam but kereta tersebut kemudiannya menemui empat guni berisi 234,000 biji kuda.
“Siasatan awal mendapati, suspek sedang menunggu pelanggan untuk mengambil bekalan pil kuda tersebut. Dadah tersebut boleh dibekalkan kepada seramai 234,000 orang penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kelantan di sini, hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan polis sudah mengenal pasti sindiket yang terlibat dalam kegiatan tersebut.- KOSMO! ONLINE