KOTA BHARU – Suspek yang maut ditembak selepas melarikan diri semasa dikejar sebuah kereta peronda (MPV) polis di Tok Bok, Machang dekat sini kelmarin mempunyai 11 rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, suspek yang berusia 33 tahun sebelum ini terlibat dam kes jenayah pecah rumah, khianat dan keganasan rumah tangga selain beberapa lagi kes jenayah.
Menurutnya, rakan suspek yang berusia 43 tahun yang ditahan dalam kejadian itu juga merupakan seorang penjawat awam.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek yang maut dan rakannya itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Pemeriksaan di dalam kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki kedua-dua suspek tempoh hari menemui dokumen pengenalan diri milik seorang lelaki yang beralamat di Klang, Selangor. Lelaki itu dipercayai menjadi mangsa samun kedua-dua suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.- KOSMO! ONLINE