KUALA LUMPUR- Polis mengeluarkan sebanyak 209 saman ke atas kenderaan yang berhenti di garisan putih dalam Op Hormat Undang-Undang (HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa dua, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, jumlah keseluruhan tindakan undang-undang dikenakan adalah sebanyak 6,638 saman pada hari sama.
Katanya, kesalahan tertinggi direkodkan adalah halangan lalu lintas iaitu sebanyak 5,446 saman.
“Kesalahan lain adalah tidak memiliki lesen memandu (95), tidak mematuhi lampu isyarat merah (51), nombor plat fancy (30) dan lain-lain (807).
“Seramai 11 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, operasi itu dijalankan dengan kekuatan 798 pegawai dan anggota.
Mana-mana individu yang disaman sepanjang operasi yang dijalankan sehingga 29 September ini tidak layak untuk mendapat tawaran pengurangan atau diskaun.-KOSMO! ONLINE.