fbpx

Mahkamah: Keputusan rayuan Muhyiddin ditetapkan Februari depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan Februari 2024 bagi pendengaran rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta.

Tarikh-tarikh pendengaran yang telah ditetapkan itu selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Februari 2024.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi media di sini hari ini.

“Mahkamah memerintahkan supaya perayu (pihak pendakwaan) memfailkan hujahan sebelum atau pada 28 Januari 2024 manakala responden (pihak pembelaan Muhyiddin) perlu memfailkan hujahan mereka sebelum atau pada 16 Februari. Sementara bagi hujahan kedua-dua belah pihak (sekiranya ada) sebelum 26 Februari 2024,” kata Wan Shaharuddin.

Hari ini adalah pengurusan kes rayuan itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd. Khairi Haron.

Sementara itu, Wan Shaharuddin turut berkata Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah menetapkan 29 November ini untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan bagi mendapatkan perintah penangguhan perbicaraan tiga lagi pertuduhan yang dihadapinya.

Pada 15 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), itu atas empat pertuduhan tersebut.

Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataannya berkata permohonan yang telah diputuskan oleh mahkamah hanyalah berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 masih kekal.

Idrus memberi kenyataan itu ketika merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan seterusnya memerintahkannya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat tersebut.

Hakim Muhammad Jamil melepaskan dan membebaskan Muhyiddin, 76, setelah mendapati keempat-empat pertuduhan dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional itu adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta.

Ia yang mana kesemua suapan-suapan itu diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI