fbpx

Inovasi bandana hindar risiko cedera main takraw

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bandana Pro-B yang dicipta UMPSA dapat mengurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus kesan hentakan hasil tandukan bola takraw.

SEPAK takraw adalah antara sukan yang berpotensi membawa pingat kemenangan kepada Malaysia, namun hanya dipertandingkan hingga ke peringkat Sukan Asia.

Walaupun sudah mula dipertandingkan secara profesional sekitar tahun 1960, pembangunan teknologi sukan sepak takraw yang dilihat kurang berkembang dengan baik adalah menjadi salah satu faktor sukan ini belum berjaya dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.

Antaranya adalah teknologi peralatan sewaktu latihan, teknologi bola takraw itu sendiri, pemakaian pemain yang lebih sesuai dan keselamatan pemain sepak takraw.
Bertitik-tolak daripada itu, Pengarah (Pusat Teknologi Industri Termaju) Pusat Pengurusan Inovasi dan Komersial, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA),

Dr. Nasrul Hadi Johari telah menghasilkan Protective Bandana (Pro-B) yang hanya perlu dipakai oleh pemain sepak takraw mengikut kesesuaian dan keselesaan serta dapat mengurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus kesan hentakan hasil tandukan bola takraw.

Idea pembangunan Pro-B adalah hasil inisiatifnya bersama ahli kumpulan Human Engineering Group yang berpangkalan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), UMPSA iaitu Dr. Mohd Hasnun Arif Hassan, Nik Haikal M. Hassan dan Dr. Zulkifli Ahmad @ Manap.

Menurut Nasrul, untuk sepak takraw dipertandingkan pada peringkat antarabangsa seperti dalam Sukan Olimpik, sukan ini perlu dipertandingkan di sekurang-kurangnya 75 buah negara yang merangkumi ke empat buah benua di dunia.

“Sepak takraw menggunakan kaki dan kepala sebagai komponen utama dalam permainan, namun dengan sifat bola takraw yang keras walaupun kenyal dan selalu dipukul dengan kelajuan tinggi melebihi 50 kilometer sejam (km/j), menanduk bola takraw menggunakan bahagian dahi kepala adalah sangat menyakitkan dan berbahaya.

Pemain sepak takraw turut berisiko berdepan kecederaan otak jika tidak berwaspada. – Gambar hiasan

“Apatah lagi dalam latihan intensif, pemain-pemain takraw biasanya akan menanduk bola takraw beratus kali bagi meningkatkan kemahiran mengawal bola.

“Kesakitan menanduk bola yang berpanjangan boleh menjurus kepada kecederaan pada kepala pemain termasuklah berisiko untuk mencederakan bahagian otak,” ujarnya yang juga merupakan pensyarah FTKMA.

Tambah beliau, perkara sebegini perlu diberi perhatian dan pihaknya mengambil inisiatif untuk memberi fokus kepada kaedah mengurangkan risiko kecederaan pada kepala pemain iaitu dengan menyediakan pelapik yang boleh dipakai terus pada kepala dan dapat mengurangkan kesan hantukan atau tandukan bola.

“Pembangunan Pro-B ini sebenarnya telah bermula seawal tahun 2013 tetapi terhenti selama beberapa tahun kerana saya menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) dan disambung kembali pada tahun 2019 dengan sokongan daripada UMPSA sendiri iaitu melalui geran produk penyelidikan (PDU), sebelum siap sepenuhnya pada awal tahun 2021.

“Pro-B akan berada di pasaran dengan harga RM45 satu set.

“Kami berharap Pro-B ini dapat mengurangkan risiko kecederaan pada kepala pemain termasuklah kepada kanak-kanak atau mereka yang baru mula bermain sepak takraw,“ terangnya.

Ini sekali gus dapat mempromosikan sukan takraw untuk dipertandingkan di negara-negara yang masih asing dengan sukan ini seterusnya diharapkan dapat dimainkan di Olimpik.

“Selain Pro-B, kami dalam proses menyiapkan Takraw Ball Launcher atau alat pelancar bola takraw yang bakal digunakan dalam sesi latihan sepak takraw.

“Alat ini bakal membantu mempertingkat prestasi pemain dan sudah pastinya meningkatkan lagi teknologi sukan ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini, pihaknya dalam proses bekerjasama dengan beberapa pihak iaitu Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang, pasukan Sepak Takraw Negeri Pahang dan persatuan-persatuan takraw yang terdekat untuk dibekalkan set Pro-B ini.

“Mereka akan menggunakannya dalam sesi latihan termasuklah dalam kejohanan,” katanya.

Penyelidikan tersebut bahkan meraih pingat emas dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2022.

Pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2022 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 26 dan 27 Mei tahun lalu penyelidikan tersebut turut meraih pingat emas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI