JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya yang berperwatakan tomboi menukar pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan menganiaya dan mengabai anak kandungnya, sejak Julai bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh menukar pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim VM Mabel Sheela.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi mahkamah itu setelah ibu tunggal dan bapanya berpelukan dan menitiskan air mata setelah beberapa tahun tidak bertemu.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa dengan niat menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang berada dalam pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kandung ibu tunggal itu ketika mangsa berada dalam pemeliharaan mereka.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Zubir manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Abd. Rahim Ali. Mahkamah kemudian menetapkan 10 Oktober depan untuk fakta dan hukuman.-KOSMO! ONLINE