GURUN – “Ibu dan ayah sekarang berada di syurga.”
Itu kata-kata Muhammad Ridz Danial, 5, setiap kali bercakap tentang arwah ibu, Rosmawati Ismail, 39, dan bapanya, Ridzuan Salleh, 42, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 87 Lebuh Raya Utara-Selatan pada 14 September lalu.
Pasangan suami isteri itu meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Benelli TNT yang mereka naiki merempuh belakang jip tentera.
Menurut abang sulung Muhammad Ridz Danial, Muhammad Amirul Ikhwan, 17, adik bongsunya itu yang sebelum ini sering menangis dan menyendiri kini kelihatan lebih tenang.
“Adik nampak okay selepas tiga hari pemergian ibu dan ayah. Pada hari pertama dan kedua kejadian itu, dia sering menangis dan mencari mereka.
“Adik juga suka menyendiri dan enggan bercakap, namun selepas saya dan adik-adik lain menerangkan keadaan sebenar dan memujuknya, dia tidak lagi bersedih,” katanya ketika ditemui di Jeniang dekat sini.
Menurutnya, adiknya itu juga sudah boleh melihat gambar ibu bapanya yang disimpan di telefon bimbit berbanding pada hari kejadian.
“Setiap kali melihat gambar ibu dan ayah, adik akan berdoa semoga arwah ibu dan ayah tenang di sana (syurga). Malah dia juga sentiasa berdoa agar kedua-duanya sentiasa dalam peliharaan Allah,” ujarnya.
Tambahnya, dia dan tiga adiknya termasuk Muhammad Alif Irfan, 15, Nurin Alya Iwanie, 12, sudah menerima kenyataan bahawa mereka kini anak yatim piatu dan tinggal bersama bapa saudara, Roslan Salleh, 57, di Kuala Ketil.
Malah, kesemua mereka telah bertukar sekolah dengan Muhammad Amirul dan adiknya Muhammad Alif belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri manakala Nurin Alya di Sekolah Kebangsaan Kuala Ketil.
Menurut Muhammad Amirul, dia bersyukur kehidupan mereka adik-beradik dijaga dengan baik selain mendapat sepenuh kasih sayang termasuk daripada ibu saudaranya, Suzana Muin, 56.
“Mereka tiada anak kecil dan adik dapat perhatian lebih, syukur dengan hubungan erat ini membolehkan kami menumpang kasih,” ujarnya.
Dalam kemalangan pada pukul 2.20 petang 14 September lalu, Ridzuan yang merupakan anggota tentera berpangkat koperal dan bertugas di Kem Hobart, Jeniang dekat sini maut akibat kecederaan parah dan melecur pada anggota badan.
Manakala isterinya, Rosmawati yang juga cedera parah meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Kejadian dikatakan berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan menziarahi ibu Rosmawati yang sedang menerima rawatan di HSAH. -KOSMO! ONLINE