fbpx

[VIDEO] Bunuh, bakar kekasih hamil: Permohonan rujuk psikiatri ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Fakrul dibawa ke mahkamah dengan dikawal anggota polis di Mahkamah Majistret Sungai Besar, hari ini. Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED/KOSMO!

SABAK BERNAM – Permohonan seorang pemuda yang didakwa membunuh kekasih hamilnya pada Mei lalu supaya merujuk kes itu kepada hospital psikiatri ditolak Mahkamah Majistret Sungai Besar, hari ini.

Majistret Siti Hajar Ali menegaskan keputusan itu diambil selepas meneliti permohonan dibuat Peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, pada 3 Ogos lalu.

Permohonan itu dibuat dengan mengambil kira faktor ‘natural case’ yang didakwa dilakukan anak guamnya dan keterangan terbaharu berkaitan keadaan mental.

“Selepas menelitinya mengikut peruntukan 342 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah berpendapat permohonan itu hendaklah diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi.

“Penolakan permohonan di peringkat ini juga tidak akan memprejudiskan hak tertuduh yang boleh diwakili peguam peguam bela dalam setiap masa,” katanya.

Jelas Siti Hajar, pihak pembelaan boleh membuat permohonan itu pada bila-bila masa di Mahkamah Tiggi yang akan menjalankan perbicaraan kes itu kelak.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri memohon tempoh bagi menyediakan laporan kes berkenaan dan sebutan semula kes kemudiannya ditetapkan pada 7 November depan.

Terdahulu, Muhammad Fakrul Aiman yang berbaju T putih dan berkaca mata kelihatan sugul ketika dibawa anggota polis ke mahkamah itu, kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kosmo! pada 24 Mei lalu melaporkan seorang lelaki diibaratkan dirasuk syaitan apabila bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek sebanyak dua kali selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa.

Selain memukul dan menoreh perut pelayan restoran itu, suspek dipercayai turut sempat membeli minyak petrol di stesen minyak untuk membakar mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI