PUTRAJAYA – Seramai 171 orang pelajar layak menerima tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) melibatkan peruntukan berjumlah RM2,951,929 pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pemberian SPH itu melibatkan tiga orang pelajar Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dalam negara (130) dan pelajar ijazah sarjana muda di luar negara (38).
Katanya, insentif yang diberikan ini adalah sebagai galakan dan penghargaan kepada para huffaz untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang.
“Kerajaan sentiasa peka serta meneliti semua aspek dalam usaha memartabatkan bidang pengajian tahfiz di negara ini, sama ada dari aspek kualiti, keberhasilan, prospek masa depan, tadbir urus dan kewangan.
“Kerajaan juga mengharapkan agar golongan huffaz ini dapat memberi sumbangan kepada negara dan mengekalkan kebolehan menghafal al-Quran serta menjadi hafiz profesional yang memartabatkan al-Quran,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat bersama Pelajar Baharu Tajaan SPH di sini, hari ini.
Beliau berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2012 lalu, seramai 1,400 orang penerima telah mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Tambahnya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion untuk tujuan pengurusan hal ehwal Islam pada tahun ini.
“Menjadi harapan saya dan kita semua agar Bajet 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen nanti, akan terus memberikan keutamaan kepada penambahbaikan kepada institusi Islam dan pendidikan Islam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE