SUDAH lumrah, mana-mana pelakon yang kerap menjadi pilihan penerbit mahupun sesebuah stesen televisyen pasti akan dicop sebagai anak emas.
Jejaka bertubuh kekar, Redza Rosli menjadi antara nama yanhg tidak terkecuali daripada dakwaan anak emas, semua gara-gara sering muncul sebagai taruhan drama berdiri TV3.
Enggan ambil pusing, Redza tidak mahu serius mempedulikan tanggapan sedemian. Di hadapannya, dia hanya mahu fokus terhadap karier.
Pelakon Kekasih Hati Mr. Bodyguard itu mengakui, tidak sekadar menerima semua tawaran untuk kepuasan peribadi tetapi pertimbangan selayaknya dibuat demi memberikan sebuah karya bermakna buat masyarakat.
“Terpulang orang mahu label saya anak emas TV3. Saya tidak kisah kerana saya hanya pilih naskhah terbaik.
“Saya tengok juga tawaran apa yang boleh bagi kebaikan atau mungkin perkara luar keselesaan sendiri saya akan terima.
“Kalau datang tiga atau empat tawaran, semestinya saya tengok jalan cerita dan apa nilai murni yang boleh diberikan kepada masyarakat,” katanya.
Menerusi perbualan, pelakon yang bergiat aktif dalam drama itu sering memberitahu bahawa dia hanya memilih nashkah terbaik untuk tatapan masyarakat.
“Perangai selektif perlu ada. Kadang-kadang dapat drama cinta atau jalan cerita yang sama menjadikan saya agak tertekan untuk sampaikan dengan cara berbeza.
“Ada yang saya perlu bagi pembaharuan walaupun genre yang sama ataupun saya akan berbincang dengan pengarah terlebih dahulu,” dedahnya yang mini muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul, Luruhnya Bunga Cinta.
Gandingan pelakon baharu
Menerusi naskhah yang mula ditayangkan sejak 19 September lalu, Redza digandingkan dengan pelakon-pelakon baharu seperti Tracie Sinidol, Bella Luna, Suni Yusri dan Aniq Durar.
Lima belas tahun dalam dunia lakonan, Redza sebenarnya tidak lokek berkongsi ilmu dengan pelakon-pelakon baharu yang batu hendak membina karier.
“Semasa mula-mula bersetuju berada dalam drama ini, memang saya sudah bersedia dalam apa juga situasi termasuk memberi tunjuk ajar kepada Tracie.
“Saya bukan hendak memudahkan kerja dia tetapi hanya niat untuk tolong mereka mencipta nama.
“Dalam masa sama, kita pun mahu berikan yang terbaik dalam sesebuah nashkah untuk rasa kepuasan,” katanya.
Bawa watak hero
Bercerita soal pembabitan menerusi karya adaptasi daripada diri popular Korea Selatan berjudul Autumn In My Heart, Redza sebenarnyua bimbang memikirkan jangkaun tinggi peminat yang telah menyaksikan drama berkenaan.
Jadi, tercetus kebimbangan buat aktor asal Selangor itu kerana mengetahui perlu mencapai jangkauan peminat yang tinggi dalam drama adaptasi tersebut.
“Sikit sebanyak memang ada tekanan kerana orang bagi jangkauan tinggi memadangkan drama ini adaptasi naskhah popular Korea Selatan.
“Saya menggalas tanggungjawab untuk menjadikan karya berkenaan lebih ‘Melayu’.
“Terfikir juga kenapa saya dipilih sebagai hero dalam drama ini, tetapi siapa saya hendak menolak rezeki Allah dan saya hargai apa yang datang,” tuturnya.
Sebagai persediaan berdepan mulut netizen, Redza mahu berlapang dada menerima komen-komen negatif mengenai watak lakonannya sebagai Nuh dalam siri berkenaan.
Jika menerusi naskhah asal, watak hero dilakonkan Song Seung-heon sebagai Yun Jun-seo.
“Mustahil sebagai orang Melayu tulen untuk ikut budaya Korea. Nama pun diadaptasi bukannya tiru balik.
“Netizen berhak cakap apa-apa. Macam saya, ambil sahaja benda negatif sebab ada kalanya boleh jadi positif.
“Mungkin ada kesilapan saya sebelum ini terlepas pandang. Apa yang orang cakap terima dengan hati terbuka,” luahnya.
Drama bersiri 20 episod ini diarahkan oleh Muhamad Riza Baharuddin ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7 malam menerusi slot Akasia dan pestriman IQiYi satu jam selepas siaran TV3.