PETALING JAYA – Pakar Pendidikan, Anuar Ahmad mencadangkan kerajaan menyediakan peruntukan khas bagi tujuan lantikan guru secara ‘one off’ bagi menyelesaikan isu kekurangan 20,000 guru di negara ini.
Ini kerana katanya, isu berkenaan telah menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilaksanakan dan menyebabkan murid-murid tinggalan dalam pelajaran.
Cadangan itu adalah antara lima perkara yang digariskan Anuar yang juga Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sempena pembentangan Belanjawan 2024 bulan hadapan.
Selain isu kekurangan guru, Anuar berkata, kerajaan juga perlu meningkatkan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran di sekolah dengan memberikan tumpuan kepada membaik pulih semua makmal sains.
Jelasnya, langkah itu supaya keberkesanan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat dipertingkatkan.
“Kerajaan juga perlu menyediakan padang sekolah dan peralatan sukan yang mencukupi bagi aktiviti fizikal dan sukan murid-murid supaya dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Selain itu, dewan terbuka yang berbumbung di semua sekolah bagi memastikan setiap aktiviti murid di luar bilik darjah tidak terjejas akibat masalah cuaca seperti hujan dan panas terik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga perlu menambah bilangan sekolah rendah dan menengah baharu khususnya di kawasan bandar yang sedang berhadapan dengan sekolah sesak murid yang kritikal.
Mengulas lanjut, Anuar turut mencadangkan supaya kerajaan menyediakan peruntukan khas untuk memastikan agenda pendigitalan pendidikan dapat dijayakan sepenuhnya pada tahun 2024.
Ujarnya, setiap sekolah perlu mempunyai capaian internet yang baik untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dan Skim bantuan peranti kepada lebih ramai murid dari keluarga miskin perlu disediakan.
“Selain itu, peruntukan khas untuk program latihan meningkatkan kemahiran pedagogi guru berteraskan teknologi maklumat dan peruntukan untuk menyediakan lebih banyak kandungan digital bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” katanya.
Anuar menambah, cadangan terakhir adalah supaya kerajaan menyediakan lebih banyak peluang pengajian Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk pelajar lepasan SPM selain membina lebih banyak institusi TVET dan Teknikal yang baharu.
“Kerajaan juga perlu menyediakan insentif untuk menarik dan melibatkan lebih banyak pihak swasta dalam menyediakan peluang kerjaya dalam bidang TVET dan teknikal.
“Program TVET juga perlu dipelbagaikan bentuk kursus yang ditawarkan sesuai dengan keperluan semasa seperti memperkenalkan kemahiran teknologi teknikal dalam bidang pengajian TVET pertanian dan penternakan,” jelasnya.
Sebelum ini, pada Belanjawan 2023, Kerajaan Madani telah menyediakan peruntukan sebanyak RM55.2 billion untuk Kementerian Pendidikan (KPM).
Daripada jumlah itu, RM2.3 billion bagi kerja infrastruktur termasuk menaiktaraf 380 buah sekolah daif dengan nilai peruntukan sebanyak RM920 juta.
Manakala RM900 juta lagi diperuntukkan untuk kerja penyelenggaraan semua sekolah di negara ini dan RM560 juta dikhususkan untuk membina tujuh buah sekolah baru di Terengganu, Selangor, Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE