KOTA BHARU – Cubaan sindiket penyeludupan untuk membawa 9,300 karton rokok seludup bernilai lebih RM1.45 juta termasuk cukai ke ibu negara gagal selepas lori yang membawa barangan tersebut terpaksa ditinggalkan di tepi jalan Taman Wira Perdana, Gua Musang dekat sini kira-kira dua minggu lalu.
Lori jenis Nissan itu didapati dibiarkan tersadai di kawasan tersebut semasa anggota penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menjalankan serbuan kira-kira pukul 4 pagi pada 17 September lalu.
Pemangku Pengarah JKDM Kelantan, Koh Joo Khai berkata, penyeludup dipercayai membiarkan lori itu di kawasan berkenaan selepas mendapati kenderaan tersebut diperhatikan dan diintip oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat bahawa lori tersebut berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.
“Anggota penguat kuasa JKDM menjalankan intipan terhadap lori tersebut selama dua jam, namun tiada individu yang hadir untuk memandu atau mengambil kenderaan itu.
“Serbuan terus dijalankan sebelum menemui 186 kotak mengandungi 9,300 karton rokok seludup di bahagian belakang lori tersebut. Kotak-kotak itu didapati berisi 1.86 juta batang rokok,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam Kelantan di sini hari ini.
Joo Khai memberitahu, kesemua rokok tersebut bernilai RM204,600 dengan anggaran cukai sebanyak RM1.24 juta.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, lori tersebut sedang dalam perjalanan dari kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini ke ibu negara sebelum berhenti di tepi jalan di Taman Wira Perdana.
“Kesemua rokok-rokok tersebut akan dipasarkan di sekitar kawasan Lembah Klang. Sindiket penyeludupan menggunakan modus operandi dengan membawa pelbagai jenis kenderaan sama ada kenderaan penumpang, lori atau van untuk membawa rokok seludup.
“JKDM masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan pemilik lori tersebut,”katanya.
Tambah Joo Khai, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE