PETALING JAYA – “Niat untuk memeluk Islam sudah lama dipendam dan kematian Blake hanya menguatkan lagi naluri untuk menjadi Muslim.”
Demikian ujar PB Salbuddin Salleh iaitu bekas penjaga anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) yang dikenali sebagai ‘Papa Blake’ selepas memeluk Islam pada Jumaat lalu.
Malah, anak jati Keningau, Sabah itu berkata, dalam keluarganya juga dia seorang sahaja belum memeluk agama Islam.
“Jangan kaitkan hijrah saya ini (Kristian kepada Muslim) sebab Blake, tiada kena-mengena sama sekali. Cuma naluri itu datang dan saya semakin kuat untuk berhijrah bila Blake tiada.
“Hijrah ini adalah sepenuh hati saya, tiada paksaan atau pengaruh mana-mana pihak. Ia adalah hidayah Allah dan saya mahu rakan-rakan semua doakan agar saya sentiasa istiqamah,” ujarnya dalam temu bual ekslusif dengan Kosmo! baru-baru ini.
Kosmo! melaporkan, Salbuddin, 34, mengucap dua kalimah syahadah di sebuah masjid di Shah Alam pada Jumaat lalu bersaksikan bapa saudara dan sepupunya.
Aksi Salbuddin mengucap dua kalimah syahadah itu juga tular di TikTok selepas beliau memuat naik video pada hari kejadian.
Dalam pada itu, adik bongsu daripada empat beradik itu berharap tugasannya bersama Blake adalah sebagai tugasan terakhirnya menjaga haiwan sepanjang berkhidmat dengan unit itu.
“Saya tidak mahu kenangan manis bersama Blake digantikan dengan haiwan lain. Tambahan pula saya telah bergelar Muslim dan mahu karier bersama hero cilik itu diabadikan buat kali terakhir,” katanya.
Dia bagaimanapun tidak akan menolak sekiranya pihak pengurusan masih memerlukan khidmatnya di unit tersebut dan sedia menggalas tugasnya dengan penuh tanggung jawab serta amanah.
“Selepas ketiadaan Blake saya masih bertugas di unit K9, namun hanya memantau dan menyediakan laporan berkaitan operasi dan tidak melatih atau menjaga mana-mana anjing lagi.
“Saya serahkan kepada pihak atasan perkara ini (pertukaran unit), di mana pun saya ditugaskan, saya akan menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati dan tanggungjawab,” tegas Salbuddin berhubung dedikasinya terhadap tugas.
Anggota di Unit Pengesan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Taman Sri Sentosa itu menambah, dia masih terkenang saat-saat Blake penat, lapar dan sedih di mana haiwan itu amat memerlukan perhatian daripadanya.