CHANGLUN – Beberapa kawasan di sekitar Pekan Changlun termasuk Kampung Nangmah dan Paya Nong Mi dalam mukim Temin serta Taman Sayang dilanda banjir akibat hujan berpanjangan sejak semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi berkata, Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerima laporan berhubung kejadian banjir pada pukul 8.50 malam tadi.
“Kejadian banjir berlaku disebabkan hujan renyai melebihi lapan jam di daerah Kubang Pasu menyebabkan beberapa kawasan di Changlun dinaiki air.
“Anggota seterusnya mendapatkan maklumat mangsa dan menasihatkan mereka segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya di sini hari ini.
Katanya, sebuah PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dibuka pada pukul 9 malam tadi.
“Setakat pukul 7.30 pagi ini, seramai 61 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di PPS tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE