SHEFFIELD – Newcastle United menampilkan aksi cukup menakjubkan apabila berpesta gol selepas membelasah Sheffield United 8-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Bramall Lane kelmarin.
Pada perlawanan itu, lapan pemain berbeza termasuk Sean Longstaff, Dan Burn, Sven Botman, Callum Wilson, Anthony Gordon, Miguel Almiron, Bruno Guimaraes dan Alexander Isak masing-masing menjaringkan satu gol.
Pengurus The Magpies, Eddie Howe mengakui gembira dengan kemenangan besar itu, lebih-lebih lagi mereka bermula dengan agak perlahan selepas tewas tiga daripada enam perlawanan liga setakat ini.
“Minggu yang cukup hebat untuk kami dan itulah keistimewaan bola sepak. Secara jujur, saya sangat lega dan gembira apabila dapat menyaksikan pasukan sudah kembali ke prestasi terbaik.
“Kami mengharungi aksi cukup sukar pada awal musim kerana jadual padat. Bagaimanapun, semua pemain tidak mengalah dan sentiasa mencari ruang untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, Howe tetap dibelenggu rasa bimbang memandangkan Harvey Barnes dan Joelinton mengalami kecederaan menjelang pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Manchester City di Stadium St. James Park Khamis ini.
“Sudah tentu ia (kecederaan) sangat merisaukan kerana setiap kecederaan akan memberi kesan kepada kami di posisi tertentu. Kehilangan pemain penting di bahagian tengah pasti akan dirasai,” ujar beliau. – AGENSI