PETALING JAYA – Natijah fitnah dan kontroversi rumah tangga, pelakon veteran, Mak Wan Latah terpaksa hidup dalam kesukaran lantaran langsung tiada tawaran lakonan sejak enam bulan lalu.
Sedih mengenangkan nasib diri, pemilik nama penuh Halimatussa’diah Mohd Daud, 62, itu berkata, tidak adil untuknya melalui ujian hebat sebegitu walhal semuanya yang berlaku bukan berpunca daripada dirinya.
“Kenapa dugaan dan ujian saya sebegini sedangkan dengan duit berlakon sebelum ini mampu hantar emak saya ke Mekah. Kenapa jadi begini? Kenapa pilih saya?
“Dengan kontroversi lagi, macam-macam yang saya lalui. Dengan rumah tangga saya difitnah.
“Saya rasa tidak adil semua ini berlaku pada saya sedangkan tidak buat sesiapa pun. Inilah yang saya tanggung dalam setahun ini,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis ulang tahun ke-18 portal hiburan, mStar di sini, hari ini.
Bagi menampung kos sara hidup, dia mula berjinak-jinak berniaga secara kecil-kecilan iaitu menjual sambal buatan sendiri di sekitar Taiping, Perak.
Antara sambal yang dijual adalah sambal hitam, sambal hijau, sambal tempoyak petai dan sambal ikan masin talang.
“Tolonglah sokong dan beli sambal saya yang dijual di sebuah acara yang berlangsung di Taiping sehingga Oktober nanti.
“Saya terpaksa berniaga sambal, mencari duit untuk meneruskan kehidupan harian. Memang sukar tetapi perlu lakukannya juga.
“Saya sedih dan jujur memang tiada siapa hubungi untuk beri tawaran berlakon tetapi perlu reda mungkin rezeki saya sekarang pada perniagaan,” ujarnya.
Tidak sesekali berniat untuk meninggalkan dunia lakonan, Mak Wan merayu agar ada penerbit dan pengarah sudi menghulurkan peluang untuknya terus berlakon dalam mana-mana drama mahupun filem seperti sebelum ini.
“Harap penerbit di luar sana kasihan pada saya dan berikan tawaran kerja, dapat terlibat satu episod pun tidak mengapa. Asalkan dapat duit.
Sekurang-kurangnya saya tidak penat berniaga pada usia sekarang,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Mak Wan menuai perhatian ramai apabila bekas suaminya, Husain Dolah mendedahkan mempunyai akhlak tidak baik sehingga diceraikan talak satu pada April 2022.
Selain kisah rumah tangga yang hanya bertahan tiga bulan, bekas pembantu peribadinya pula tampil mendedahkan pelakon itu melakukan perbuatan syirik menerusi beberapa video yang dikongsi dalam aplikasi TikTok.
Tidak lama kemudian, video memaparkan gelagat Mak Wan berkaraoke ketika dalam tempoh idah turut tular dalam media sosial. -KOSMO! ONLINE