fbpx

Mahkamah: Bunuh teman wanita 7 tahun lalu, bapa lima anak dijel 40 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siva Sangker ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Februari 2021

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan seorang bekas pemandu bas menjalani hukuman penjara maksimum 40 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas kesalahan membunuh teman wanitanya di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor, tujuh tahun lalu.

M. Siva Sangker, 39, terlepas hukuman mati selepas mahkamah tertinggi negara menggunakan kuasa budi bicaranya dengan menggantikan hukuman gantung dengan tempoh pemenjaraan maksimum dan dikenakan sebatan minimum.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang bersidang bersama-sama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Mahkamah menggunakan kuasa budi bicara ekoran pemansuhan hukuman mati mandatori berkuat kuasa 4 Julai lalu yang membenarkan hakim membuat pilihan menjatuhkan hukuman penjara sehingga 40 tahun menggantikan hukuman mati mandatori.

Hakim Mohamad Zabidin berkata, panel tersebut menolak rayuannya terhadap sabitan selepas berpendapat, Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf ketika mengekalkan keputusan hakim bicara yang mendapatinya bersalah atas pertuduhan tersebut.

Panel itu berpuas hati, sabitan Mahkamah Tinggi selamat untuk dikekalkan manakala dapatan hakim bicara disahkan. Hukuman berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkapan pada 24 November 2016.

Siva Sangker yang ketika itu sudah berkahwin didapati bersalah membunuh V. Durga Devi, 23, di Jalan Kancil 1, Taman Scientex, Pasir Gudang pada 12.15 tengah hari, 21 November 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mangsa yang juga pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, ditemui mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, leher dan kedua-dua belah tangan akibat ditetak di tepi jalan.. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI