LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji aksi ditampilkan penyerang, Darwin Nunez ketika membantu pasukan itu menang 3-1 ke atas West Ham United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, The Reds berjaya menjaringkan tiga gol menerusi Mohamed Salah, Nunez dan Diogo Jota, manakala West Ham yang beraksi sebagai pasukan pelawat memperoleh satu gol hasil jaringan Jarrod Bowen.
Klopp menganggap Nunez sudah semakin menunjukkan aksi meyakinkan dan beliau percaya pemain antarabangsa Uruguay itu sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai penggempur utama Liverpool musim ini.
“Dia (Nunez) sudah menunjukkan perkembangan yang cukup meyakinkan dalam tempoh beberapa minggu ini. Anda semua boleh melihat gol yang dijaringkan, bagi saya dia adalah ancaman kepada setiap penjaga gol.
“Saya tidak sabar untuk tunggu dia kembali ke prestasi terbaik. Saya juga gembira kerana dia boleh diturunkan pada bila-bila masa memandangkan dia adalah pemain penting untuk pasukan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui dapat menarik nafas lega memandangkan mereka berdepan tentangan sengit daripada West Ham yang bijak mencari ruang bagi menembusi benteng pertahanan The Reds.
“Memang saya sudah jangka perlawanan ini akan menjadi sukar. Walaupun kami ada beberapa peluang di separuh masa pertama, namun kami gagal untuk memanfaatkannya dengan sempurna,” ujar Klopp. – AGENSI