fbpx

Jimat belanja bulanan, ubah gaya hidup hipster

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KENAIKAN kos sara hidup yang membelenggu rakyat Malaysia dan seluruh dunia menjadi aduan yang sering kita baca di media massa serta media sosial.

Ramai yang mengadu tidak mempunyai baki wang mencukupi untuk dibuat belanja hingga hujung bulan, hinggakan ada yang terpaksa ‘mengorek’ tabung unit amanah atau lebih teruk lagi bagi yang tidak mempunyai simpanan kecemasan, mereka terpaksa meminjam daripada pihak lain.

Bagi mereka yang tinggal di bandar terutamanya mempunyai anak ramai, keadaan pasti menjadi semakin perit dengan pelbagai kos yang tidak ditanggung penduduk luar bandar perlu dihadapi setiap hari.

Antaranya duit tol, petrol yang perlu diisi secara kerap, bayaran parkir pejabat serta kos makan di restoran.

Namun, dalam keghairahan kita mengadu di media sosial mengenai wang belanja tidak mencukupi, adakah kita me­nyemak perbelanjaan bulanan?

Mungkin ramai yang terlepas pandang mengenai gaya hidup sendiri yang sebenarnya jika diubah, ia mampu menjimatkan perbelanjaan, sekali gus memberi lebihan wang untuk digunakan.

Misalnya, jika selama ini kita gemar makan di kafe-kafe ­hipster, mungkin tabiat itu boleh diubah dengan memilih restoran lebih murah dan memesan makanan berharga ‘rahmah’.

Mengikut pengalaman penulis, kos makanan untuk dua orang di sebuah kafe hipster mencecah RM120. Bayangkan jika dalam sebulan, empat kali kita makan di kafe sedemikian, kos belanja akan menjadi RM480.

Bayangkan lagi, wang hampir RM500 itu sekiranya tidak d­ibelanjakan di kafe-kafe gaya hidup yang mempunyai hiasan dalaman menarik dan over-priced, kita mempunyai lebihan wang yang amat mencukupi untuk digunakan sepanjang bulan.

Menurut Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Ke­sejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad, menetapkan minda yang strategik adalah penting untuk kita membelanjakan wang secara berhemah dengan mengutamakan pembelian barang keperluan utama terlebih dahulu.

“Kita harus bijak membuat pilihan barangan keperluan asas yang perlu dan jangan menjadi pembeli impulsif, terutamanya di platform jualan online.

“Selain itu, adalah penting untuk kita amalkan gaya hidup bersederhana dan jangan takut mengubah gaya hidup mewah untuk lebih berjimat cermat. Kita juga perlu mempunyai kestabilan kewangan dengan membuat simpanan atau pelaburan jangka panjang berdasarkan kemam­puan masing-masing,” ujarnya.

Tambah Mohd. Suhaimi, golongan muda dinasihatkan untuk mempunyai dana simpanan kecemasan bagi mengatasi situasi kewangan luar jangka seperti membaiki kenderaan rosak, menampung kos perubatan dan menampung kadar dasar semalaman (OPR) yang berubah-ubah.

“Cuba elakkan terikut-ikut dengan trend semasa seperti bercuti untuk healing di tempat mewah, minum kopi mahal di kedai hipster atau membeli gajet terbaharu, sedangkan yang sedia ada masih berfungsi,” katanya.

Jangan sesekali membandingkan gaya hidup orang lain dengan kita dan usah terpengaruh de­ngan apa yang sering ditunjukkan oleh pesohor media sosial yang belum tentu tepat secara realiti.

Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Benar, membeli kopi mahal bukan barangan ke­perluan yang dibeli hari-hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI