KULAI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini membongkar kegiatan sebuah syarikat pemerolehan kembali bahan buangan terjadual yang bertindak melupuskan bahan buangan terjadual dengan menanamnya di kawasan tanah lapang berhampiran premis di Seelong Jaya, di sini.
Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, tindakan tidak beretika itu boleh mendatangkan kemudaratan kesihatan kepada penduduk setempat sekiranya bahan terdedah dan bertindak balas dengan air.
Beliau berkata, bertindak mengikut maklumat yang diperolehi, pihaknya berjaya menahan suspek ketika sedang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu pada 12 tengah hari semalam.
“Hasil siasatan awal, pihak syarikat tersebut telah melakukan perbuatan tersebut sejak seminggu yang lalu dan kegiatan itu terbongkar setelah pihak JAS membuat serbuan ketika mereka sedang melakukan perbuatan itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pengurus syarikat yang berusia 58 tahun dan penyelia berusia 34 tahun ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan pelupusan bahan buangan terjadual secara haram. – KOSMO! ONLINE